Al-Ruwaibidoh adalah satu golongan yang diberi amaran oleh Nabi s.a.w.
akan kemunculannya menjelang kiamat. Sabda baginda: “Sesungguhnya
sebelum kedatangan dajjal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat-
adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang
yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang
yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika
itu al-Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?”
Sabda Nabi s.a.w.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam
(orang ramai).” Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya’la,
al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan
isnadnya sahih.dan ini disetujui oleh Al-Zahabi. Demikian juga Ibn
Hajar al-`Asqalani menyebut di dalam Fath al-Bari :sanadnya baik.
Al-Albani di dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah juga menyatakan ianya
sahih
Isi kandungan hadith ini adalah amaran Nabi s.a.w. kepada kita semua,
bahawa akan muncul sebelum kiamat golongan manusia yang lekeh dan tidak
berkelayakan tetapi bercakap dalam urusan umat yang membabit
kepentingan umum dan ramai. Natijahnya, tentulah terjadinya porak
peranda pemikiran manusia, gawatlah kefahaman mereka dan hancur binaan
ilmu yang sebenar. Apa tidaknya, apabila yang lekeh menjadi pemimpin
lalu bercakap dalam urusan umat, yang jahil berlagak `alim, yang
menghafal sepatah dua ayat berlagak ulamak. Yang bukan ulama mengakui
ulamak, yang hanya ada sepatah dua ilmu agama ditabalkan menjadi
ulamak. Inilah saat kehancuran. Justeru itu, al-Imam Ibn Rajab
al-Hambali dalam Jami’ al-`Ulum wa al-Hikam ketika menghuraikan hadith
tersebut menyatakan: “Maksud tanda kiamat yang disebut di dalam hadith
ini merujuk kepada persoalan “apabila urusan diserahkan kepada bukan
ahlinya” sepertimana yang disebut oleh Nabi s.a.w. kepada orang
bertanya baginda mengenai kiamat, maka kata baginda, “apabila urusan
diserahkan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat”.
Golongan al-Ruwaibidoh muncul di kalangan masyarakat, mereka sebenarnya
lekeh, tidak berkelayakan tetapi cuba menonjolkan diri. Samada melalui
pentas kepimpinan masyarakat, ataupun dalam gelanggang ilmu. Inilah dua
peluang besar untuk seseorang muncul dan dapat bercakap, berbicara,
memberikan pandangan mengenai urusan awam dan persoalan-persoalan
besar. Kadang-kala menerusi ucapan yang diperdengarkan, ataupun tulisan
yang dibaca. Bukannya kesalahan itu kerana mereka memberi pandangan,
tetapi kesalahannya kerana ketidaklayakan mereka, bekalan yang tidak
cukup, berbicara mengenai sesuatu yang bukan bidang mereka. Sebab itu,
al-Imam al-Sayuti dalam Syarah Sunan Ibn Majah menyatakan:
“Al-Ruwaibidoh adalah orang yang lemah yang cuba mencampuri
perkara-perkara besar dan berusaha untuk memperolehinya”.
Inilah yang sedang kita saksikan di pentas dunia kita. Apabila urusan
politik umat cuba diuruskan oleh mereka yang tidak mendalami ilmu
al-siyasah al-syar`iyyah, lalu memberikan pandangan yang bukan-bukan
mengenai politik Islami maka kefahaman umat bawahan menjadi kelam
kabut. Umpamanya lihat lagak sebahagian orang-orang politik di negara
ini. Yang jahil tentang ilmu mustalah al-hadith, tidak pernah
mempelajari ilmu sanad, tidak mengetahui apa itu ilmu al-Rijal, apa itu
ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil, yang menjadi asas pengetahuan dan kajian
dalam hadith nabawi, berani bercakap tentang hadith dan mencabarnya.
Umpamanya lihatlah Kasim Ahmad!!!. Yang tidak tahu bahasa arab, jahil
kaedah dan cara istinbat (memetik) hukum, tidak mendalami bab al-`Illah
dalam Usul al-Fiqh, tidak mendalami Maqasid al-Syarak, cuba
menghuraikan dan mencabar beberapa ketetapan syarak. Umpamanya,
lihatlah gerakan sisters in Islam!!. Semua golongan ini bercakap apa
sahaja yang mereka mahu mengenai agama, apatah lagi bila diberi ruang
di dalam akhbar dan media massa. Hinggakan ada orang politik yang
mengajak rakyat bersolat hajat untuk menjadi tuan rumah sukan yang
menyanggahi disiplin agama.
Sementara di kalangan yang cintakan Islam pula, budaya ilmu belum
begitu subur berkembang. Kuliah-kuliah agama di sebahagian masjid dan
surau, kurang membuahkan ilmu yang menimbulkan rasa takut kepada Allah
dan faham hukum-hakamnya. Peserta kuliah sebahagiannya lebih meminati
kuliah yang dipenuhi dengan lawak jenaka tanpa penekanan kepada ilmu.
Lebih mendukacitakan lagi apabila yang dijemput mengajar tidak memilik
latar belakang ilmu. Kata orang arab “orang yang tidak memiliki sesuatu
tidak dapat memberikan sesuatu”. Ada yang tidak pernah mempelajari Usul
al-Fiqh tiba-tiba memberi fatwa dalam hukum fikah. Bahkan sebahagiannya
begitu jahil, misalnya, sehingga ada yang tidak tahu apa yang dikatakan
al-Ijmak atau ijmak ulamak, lalu menafsirkannya sebagai pendapat
tokoh-tokoh agama nusantara. Ada yang tidak mengetahui bahasa arab
melainkan sepatah dua, tidak pernah mempelajari Usul al-Tafsir atau
`Ulum al-Quran tiba-tiba mengajar kuliah tafsir. Menghuraikan apa
sahaja ayat yang dirasakan boleh menyeronokkan pendengar.
Pergantungannya hanya kepada apa yang dia faham dari al-Quran
terjemahan samada dalam bahasa Melayu, Indonesia ataupun Inggeris. Lalu
qurannya adalah quran menurut apa yang dia faham dari bahasa Melayu,
atau Indonesia, atau Inggeris, bukan daripada Bahasa `Arab yang nyata
seperti yang disebut dalam al-Quran itu sendiri. Malangnya dia berani
menafsirkan untuk orang ramai sesedap lidahnya. Maka terbitlah dari
lidah yang tidak bertulang itu kesimpulan-kesimpulan yang ganjil. Kalau
Ibn `Abbas, Mujahid, al-Tabari, al-Qurtubi, Ibn al-`Arabi dan para
mufassirin yang lain masih hidup tentu mereka kehairanan mendengar
tafsir sedemikian pelik. Ada pula yang menganggap ilmu hadith itu
hanyalah membaca makna hadith dan menghuraikannya, tanpa perlu
mengetahui bahasa `arab, tidak mengetahui apa itu sanad, tidak pula
mampu membeza antara hadith-hadith yang thabit iaitu yang sahih dan
hasan, dengan yang dhaif (lemah) atau dengan yang maudu’ (palsu).
Bahkan ada yang tidak mengetahui bahawa haramnya seorang muslim membaca
hadith palsu dihadapan khalayak tanpa diterangkan kepalsuannya. Tidak
mengetahui apakah disiplin al-Bukhari dalam sahihnya, apakah pula
disiplin Muslim, apakah pula disiplin Al-Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah,
al-Nasai, Ahmad, Ibn Hibban, al-Hakim, dan semua tokoh-tokoh hadith.
Lalu mereka menganggap semua hadith yang dibaca mertabatnya sama.
Malangnya mereka yang seperti ini juga cuba berfatwa mengenai hadith
Nabi s.a.w.. Kalau Ibn al-Salah, al-Hafiz al-`Iraqi, al-Balqini,
al-Khatib al-Baghdadi, al-Ibn Hajar al-`Asqalani, al-Qasimi dan
seumpama mereka mendengarnya tentu akan terkejut kehairanan
Ini yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w. dalam sebuah hadith yang sanadnya
sahih seperti yang sebut oleh Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath
al-Bari: “Rosaknya agama apabila ilmu datang daripada yang kerdil, yang
dibantah oleh golongan yang `alim. Baiknya manusia apabila ilmu datang
dari golongan `alim dan diikuti oleh golongan kerdil”
Di sesetengah tempat, sekadar seseorang pandai berceramah terus sahaja
diberi lesen untuk bercakap mengenai agama. Berbicara seolah-olah dia
menguasai kesemua disiplin ilmu di dalam Islam. Apatah lagi apabila
ceramah boleh mendatang pendapatan yang lumayan, maka ramai yang
berusaha menjadi penceramah dengan menghafal sepatah ayat dan hadith
lalu menafsirkannya menurut apa yang digemari pendengar. Lalu dia
menyangka dia betul kerana orang awam suka mendengar apa dia ulas.
Modalnya hanya dua, hentam apa sahaja yang mendatangkan minat pendengar
dan lawak yang boleh menyeronokan pendengar. Mungkin juga akhirnya dia
menyangka dirinya alim lantas semakin hari, semakin berani memberi
pandangan apa sahaja mengenai agama.
Saya masih teringat kepada al-Syeikh Dr. Hasan Hitu, beliau adalah
seorang tokoh ulamak semasa bermazhab al-Syafi’i dari Syria, terkenal
dengan karya-karyanya dalam fikah terutama dalam mazhab al-Syafi`i..
Dalam ceramahnya kepada kami, beliau menyatakan bahawa ilmu-ilmu
Islamlah yang paling dizalimi. Sebabnya, seseorang tidak dibenarkan
menjadi doktor memeriksa dan memberi ubat kepada pesakit melainkan
setelah dia lulus dalam bidang perubatan dengan baik. Seseorang tidak
dilulus untuk membina bangunan yang tinggi melainkan setelah dia
memiliki kelulusan dalam bidang binaan. Begitu juga bidang-bidang yang
lain. Namun, malang sekali apabila tiba kepada persoalan ilmu Islam,
semua lapisan diizinkan memberikan pendapat dalam segala bidang yang
ada di dalam agama. Samada dia pernah belajar atau tidak. Sehingga
artis yang tidak tahu hujung pangkal agama pun memberi pandangan
mengenai hukum-hakam syarak”.
Inilah yang sedang berlaku dalam masyarakat Islam. Ilmu Islam dianggap
begitu murah dan lekeh. Bidang-bidang lain, orang tidak berani masuk
campur melainkan jika memilki pengetahuan yang cukup mengenainya. Ilmu
Islam pula diperlakukan sebaliknya. Sehinggakan para artis yang sedang
aktif ataupun yang telah pencen, pun berfatwa tentang agama.
Sebenarnya, bukan kita halang mereka bercakap atau cuba menyumbang
untuk Islam, tetapi jangan mereka bercakap dalam apa yang mereka tidak
benar-benar memahaminya, kerana akhirnya umat akan tersasul dan
tersilap dalam memahami al-Din. Menyesatkan umat adalah suatu jenayah.
Sumbangan kepada umat dialu-alukan, namun biarlah ianya melalui cara
yang betul. Jika tidak mereka akan menjadi golongan al-Ruwaibidoh.
Namun, apa yang dapat kita katakan jika ianya adalah salah satu dari
tanda kiamat yang dikhabarkan iaitu munculnya golongan al-Ruwaibidoh.
Kepada Allah kita pohon agar kita tidak tergolong dalam golongan ini.
.:: Final Exam ::.
-
Salam *kesayangan* cik eva...
kesibukan dan tanggungjawab yang dipikul menyebabkan cik eva x berpeluang
untuk update blog ni..
maaf ye *KESAYANGAN*..
...
14 years ago

No comments:
Post a Comment