Rakyat Jelata AreMie

Sunday, 23 October 2011

Harta haram tidak bersih dengan zakat

DEWASA ini proses mencari rezeki amat luas. Kalau dahulu, IA mungkin setakat pertanian, penternakan Dan aktiviti ekonomi yang amat terbatas.

Namun dengan perkembangan zaman, manusia telah mampu meluaskan kaedah mencari rezeki termasuklah kaedah yang ditegah dalam hukum agama.

Ada tanggapan bahawa carilah rezeki Dan buatlah duit selagi mana mampu. Walaupun haram atau bertentangan dengan undang-undang negara, tetapi kalau pandai mengelak daripada dikenakan tindakan, apa salahnya. Ia bak kata pepatah ‘jikalau pandai makan, pandailah menyimpan’.

Oleh itu, Ada manusia yang sanggup makan rasuah, terlibat secara langsung dengan riba, menipu Dan bermacam kegiatan ekonomi yang salah. Akhirnya bagi ‘menghalalkan’ harta kekayaan itu, maka mereka berlumba-lumba berzakat, bersedekah, menderma Dan sebagainya.

Oleh itu, Islam sebenarnya meletakkan had-had tertentu dalam mencari harta. Antara prinsip Islam dalam bab mencari harta ialah :

1. Tidak terlibat dengan aktiviti ekonomi yang haram seperti arak, judi, khinzir Dan seumpamanya.

2. Tidak wujud unsur penipuan. Umpamanya peniaga yang mengurangkan timbangan di mana zahirnya sekilogram tetapi hakikatnya hanya 900 gram sahaja. Walaupun berniaga kerja yang mulia, tetapi akhlak menipu akhlak yang hina.

3. Tidak terlibat dengan rasuah. Rasuah adalah satu jenayah yang serius. Negara tidak akan maju selagi rakyatnya masih mengamalkan rasuah.

Apabila prinsip ini dipatuhi, maka harta yang dikumpul akan menjadi halal Dan berkat. Setiap suapan untuk diri Dan anak-anak adalah rezeki yang berkat.

Tanggapan bahawa zakat, sedekah Dan derma boleh ‘menghalal’ Dan membersihkan harta yang haram adalah jauh menyeleweng daripada wahyu Quran Dan petunjuk Nabi s.a.w. Memang dalam Islam, umatnya disuruh mencari harta kekayaan. Dengan adanya harta kekayaan, umat Islam akan menjadi umat yang kuat. Kefarduan zakat yang seringkali disebut dalam al-Quran Dan sunah sebenarnya adalah kesinambungan daripada kaya harta.

Dalam masalah ini, Cuba renungi Dan hayati sabda Nabi s.a.w. Dalam riwayat Ibnu Khuzaimah yang bermaksud: Sesiapa yang mengumpulkan harta daripada (sumber) yang haram, kemudian bersedekah dengannya, maka tiadalah baginya pahala padanya Dan ke atasnya pula dosa.

Jelas lagi bahawa amalan baik seperti zakat Dan sedekah mestilah daripada harta yang halal. Dalam hadis ini telah jelas bahawa tiada pahala bagi amalan sedemikian bahkan baginya dosa. Jauh sekali untuk ditafsirkan bahawa IA dapat membersihkan harta yang haram.

Bukankah Nabi s.a.w. Bersabda sebagaimana dalam riwayat Muslim maksudnya: Sesungguhnya Allah itu baik (toyyib), Dan Allah tidak menerima melainkan yang baik.

Alangkah indahnya kata orang bijak pandai bahawa orang yang Cuba membersihkan hartanya yang haram dengan zakat, sedekah Dan derma seumpama orang yang membersihkan kotoran dengan air kencing. Adakah kotoran itu makin hilang? Kotoran tidak akan hilang kerana air yang membersihkannya bukanlah air yang bersih atau bukan air mutlak. Kotoran mungkin juga hilang tetapi Kita menambahkan lagi kotoran dengan air kencing tersebut.

Dalam hadis riwayat Ibnu Khuzaimah, jelas bahawa tidak sepatutnya pemilik harta yang haram berzakat. Zakatnya tidak akan diberi pahala, bahkan mungkin Ada dosa yang perlu ditanggungnya.

Namun melihat kepada aspek yang lain, sewajarnya pihak berkuasa tidak lepas tangan sahaja terhadap harta begini. Zakat adalah penting khususnya bagi membantu golongan fakir miskin serta golongan yang memerlukan bantuan. Jika golongan kaya begini dibiarkan sahaja, berapakah nilai harta yang sepatutnya dimanfaatkan oleh golongan daif terbiar begitu sahaja.

Walaupun hadis menyebut pemilik harta yang haram yang mengeluar sedekah tidak mendapat pahala, tetapi tidak nyata di sana bahawa haram diambil zakatnya atau sedekahnya.

Oleh itu, mungkin boleh diikhtiarkan agar Ada sedikit terpaksa supaya pemilik harta yang haram ini perlu juga membayar zakat.

Seandainya Ada kaedah agar harta yang tidak halal ini diambil oleh pihak berkuasa. Pemiliknya tidaklah berderma atau bersedekah dengan harta yang haram, tetapi sekadar memudahkan cara demi kemaslahatan umat Islam. Ini boleh difahami daripada duit hasil riba yang haram. Apabila duit itu haram, maka sudah tentulah haram atas pemiliknya menggunakan untuk tujuan peribadi.

Kalau duit haram itu dibiarkan sahaja, maka IA merupakan harta terbiar yang membazir. Jika begitu, mengapa tidak difikirkan kaedah sesuai agar harta haram bagi pemiliknya dapat dimanfaatkan untuk maslahat umum.

Kenapakah harta itu boleh digunakan untuk kepentingan umum sedangkan IA asalnya harta yang haram? Sebenarnya harta itu haram bagi pemiliknya sahaja. Contohnya, harta hasil judi, riba Dan sebagainya. Namun bagi orang lain lebih-lebih lagi untuk kepentingan umum, IA bukanlah haram. Ini mungkin dapat difahami daripada sepotong hadis riwayat Muslim di mana Anas bin Malik r.a. Menceritakan bahawa Barirah r.a. Menghadiahkan kepada Nabi s.a.w. Daging yang disedekahkan kepadanya. Nabi s.a.w. Bersabda: “Bahawa daging itu adalah sedekah bagi Barirah Dan hadiah bagi kami.”

Jelas bahawa walaupun sedekah haram kepada Nabi s.a.w., namun daging sedekah itu bertukar sifatnya daripada sedekah kepada hadiah. Manakala hadiah adalah halal bagi Nabi s.a.w.

Namun, sekali ditegaskan bahawa harta yang haram tidak akan bersih Dan halal dengan zakat Dan sedekah. Oleh itu, carilah rezeki yang halal.

No comments:

Post a Comment